Kes demam campak di Selangor bagi suku pertama tahun ini mencatatkan peningkatan susulan tindakan ibu bapa menolak suntikan vaksin dan imunisasi untuk anak mereka, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Zailan Adnan.

Beliau berkata sebanyak 403 kes demam campak dilaporkan di negeri itu pada suku pertama tahun ini berbanding hanya 23 kes pada 2014 dan 498 kes tahun lalu.
"Keengganan golongan berkenaan (ibu bapa mendapatkan suntikan vaksin dan imunisasi bagi anak mereka) dilihat menyumbang kepada peningkatan kes measles (demam campak) di negeri ini," katanya dalam sidang media selepas menyertai forum terbuka bertajuk "Adakah Suntikan Vaksin Selamat?" di Cyberjaya University College of Medical Sciences.
Beliau berkata lebih 500 kes penolakan suntikan vaksin dan imunisasi dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Jumlah itu agak membimbangkan apabila menunjukkan trend peningkatan mendadak berbanding hanya 637 kes penolakan suntikan dilaporkan pada 2013, 918 kes pada 2014 dan 1,541 kes sepanjang tahun lalu, katanya.
"Di Selangor sendiri dalam suku pertama tahun ini sahaja sebanyak 29 keluarga menolak untuk anak mereka diberikan suntikan vaksin dengan pelbagai alasan seperti merasakan suntikan berkenaan mempunyai kesan sampingan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Penguatkuasa Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Tan Ann Ling berkata kepercayaan sesetengah pihak bahawa suntikan vaksin dan imunisasi membawa kesan sampingan teruk adalah tidak tepat kerana statistik menunjukkan sebaliknya.

Beliau berkata sebagai contoh daripada 10,000 proses pemberian suntikan itu, sebanyak 98 peratus daripada penerima tidak mengalami sebarang kesan sampingan atau dikenali sebagai Adverse Events Following Immunization (AEFI) malah hanya mengalami alahan ringan seperti demam, pening kepala atau ruam di kawasan suntikan. -AstroAwani

Cadangan: Wujudkan Undang-undang Wajibkan Imunisasi Kepada Kanak-kanak

Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan beberapa kementerian lain, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tentang cadangan mewujudkan undang-undang mewajibkan suntikan imunisasi kepada kanak-kanak di Malaysia. 

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata pada masa ini belum ada undang-undang khusus berkaitan suntikan imunisasi dan sebaiknya perkara itu diwajibkan kepada semua kanak-kanak. "Selain itu Kementerian Kesihatan juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengeluarkan fatwa mewajibkan suntikan itu.
"Saya juga berharap agar masjid-masjid di seluruh negara dapat membaca khutbah berkaitan kepentingan imunisasi pada solat Jumaat supaya orang ramai diberi kesedaran agar tidak terus melakukan penganiayaan terhadap anak-anak apabila enggan mengambilnya (suntikan)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada pesakit kanser di Hospital Seberang Jaya (HSJ). 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dua kes terbaru difteria di Sabah dengan seorang daripadanya kanak-kanak berusia tiga tahun yang tidak menerima imunisasi meninggal dunia, manakala seorang lagi sedang dirawat di hospital.

Dr Hilmi berkata ibu bapa yang anak-anak mereka belum mengambil suntikan imunisasi itu boleh berbuat demikian di klinik kesihatan berhampiran, tanpa mengira berapa usia kanak-kanak itu. -BeritaHarian

Kementerian Kesihatan Tak jadi Wajibkan Vaksin

KUALA LUMPUR, 4 Julai — Pengambilan vaksin tidak diwajibkan ketika ini, tetapi terdapat keperluan untuk terus mendidik ibu bapa tentang perlunya mereka memastikan anak masing-masing mendapat suntikan pelalian, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Sambil menegaskan bahawa bukan semua perkara boleh dikuatkuasakan melalui undang-undang, namun, kata beliau, kesedaran tentang kepentingan mendapatkan vaksin bagi mencegah penyakit seperti difteria, rubela dan penyakit lain masih rendah dalam kalangan ibu bapa, khususnya di luar bandar.
"Perkara yang akan difokuskan ialah terus menyedarkan orang ramai bahawa mereka bukan tinggal secara bersendirian di sebuah pulau terpencil dan oleh itu, mereka membahayakan orang lain sekiranya anak mereka tidak diberi vaksin," katanya kepada pemberita di SJK (T) Ampang di sini semalam.
Dr Subramaniam berkata dalam menghadapi isu vaksin, beliau menjangka cabaran besar akan dihadapi dalam menangani tiga kumpulan berkenaan iaitu kumpulan antivaksin, miskin tegar dan pendatang.

Ketika menyuarakan kebimbngan beliau tentang penularan penyakit difteria, beliau menyeru ibu bapa supaya lebih bersikap terbuka tentang pemberian vaksin terhadap anak mereka.

Dr Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan juga merancang untuk bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi mendidik orang ramai tentang kepentingan mengambil vaksin kerana ia melibatkan keluarga.
"Mungkin ada kes, si ibu mahu anaknya diberi vaksin, tetapi si bapa tidak mahu. Isu ini agak kompleks dan perlu ditangani dengan sewajarnya," kata beliau.
Setakat ini, 13 kes difteria disahkan di seluruh negara, lima daripadanya melibatkan kematian. — Bernama
Next
This is the most recent post.
Previous
Older Post

Post a Comment

Mazuki Mustaffa

{picture#YOUR_PROFILE_PICTURE_URL} Tadaa!!! {facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}
Powered by Blogger.