Halloween party ideas 2015


SHAH ALAM,- UMW Toyota Motor Sdn Bhd, pengeluar dan pengedar kenderaan Toyota di Malaysia, hari ini melancarkan Toyota Camry Hibrid terbaharu yang dipasang di sini selain menyasarkan pengeluaran kira-kira 7,000 unit kenderaan itu, tahun ini.

Pengerusi UMW Toyota Motor, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata Toyota Camry Hibrid CKD (unit terurai) itu adalah kereta hibrid pertama dipasang di Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di sini, sekaligus menunjukkan keazaman dan komitmen syarikat mengeluarkan kenderaan yang menepati jangkaan pengguna.

"Syarikat juga menjangkakan dapat mengeluarkan kira-kira 7,000 unit kereta baharu Toyota Camry ini dalam tempoh sembilan bulan akan datang.

"Bagi tempoh 2010 dan 2015, UMW Toyota telah melabur hampir RM180 juta bagi projek Toyota Camry CKD ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran yang disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di ASSB di sini, hari ini.

Pada majlis sama, UMW Toyota Motor Sdn Bhd turut melancarkan kemudahan pemasangan baharu di kilangnya di sini yang operasi dan pengurusannya dikendalikan ASSB.

Kemudahan terbaharu di kilang Shah Alam itu, mampu menghasilkan 9,000 unit Camry - yang mana 7,000 jenis hibrid dalam tempoh sembilan bulan akan datang.

Tiga varian kenderaan itu yang dikeluarkan di sini adalah Camry 2.0E dan 2.0G petrol serta Camry Hibrid 2.5HV - kenderaan hibrid pertama dipasang di Malaysia.

Asmat berkata UMW Toyota telah menjual 116,000 unit Toyota Camry sejak mula diperkenalkan di negara ini pada 1994.

Sementara itu, pada sidang media kemudiannya, Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki berkata harga kenderaan jenis hibrid itu tidak lebih RM200,000, dan pelancaran medianya akan dibuat pada 2 April ini.

Ditanya mengenai kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) mulai 1 April ini, beliau berkata sebarang penjimatan daripada cukai itu akan digunakan bagi manfaat pelanggannya.

Syarikat juga, katanya, menyasarkan untuk menjual kira-kira 100,000 kenderaan Toyota dan Lexus bagi mencapai bahagian pasaran melebihi 15 peratus, tahun ini.

Menurut Ismet, syarikat itu juga yakin industri automotif negara akan terus berkembang tahun ini biarpun dengan pelaksanaan CBP.

Pada 2014, Toyota mencatatkan peningkatan jualan domestik sebanyak 11.9 peratus kepada 102,035 unit berbanding 91,185 unit pada 2013, sekaligus memperluaskan perkongsian pasarannya kepada 15.3 peratus pada 2014 daripada 13.9 peratus pada 2013. BERNAMA

Post a Comment

Mazuki Mustaffa

{picture#YOUR_PROFILE_PICTURE_URL} Tadaa!!! {facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}
Powered by Blogger.